MENARIK!! Bas Dua Alam Akan Beroperasi Pada Tahun Hadapan
KUALA TERENGGANU – Pembangkang perlu mengetahui status terkini pembelian amphicoach (bas amfibia) oleh Kerajaan Terengganu sebelum mempolitikkan isu itu sehingga menjadi viral di laman sosial.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pihaknya menjangka bas itu dapat digunakan pada tahun depan kerana kilang pengeluar di Malta memerlukan tempoh sehingga lapan bulan untuk menyiapkan bas tersebut.
Menurutnya, mengikut perancangan awal, selain tujuan pelancongan di Tasik Kenyir, kenderaan dua alam itu juga akan digerakkan pada musim tengkujuh kerana kebiasaannya, pengangkutan darat tidak dapat digunakan kerana laluan dinaiki air.
“Setakat ini, kita telah membayar deposit sebanyak 50 peratus (RM1.3juta) dan harga yang dipersetujui ketika rundingan ialah sebanyak 600,000 euro untuk sebuah amphicoach. Bas ini kini sedang dalam proses pembinaan oleh sebuah kilang di Malta.
“Kita jangka menerima amphicoach itu pada Mei tahun depan yang akan diserahkan oleh menteri Malta,” katanya ketika Sidang Media Khas Perkembangan Banjir Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, semalam.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd Jidin Shafee berkata, sehingga kini hanya 12 amphicoach di seluruh dunia kerana kilang kenderaan itu hanya mengeluarkan amphicoach berdasarkan tempahan khas.
Gambar hiasan
Menurutnya, pembelian amphicoach bukan sahaja melibatkan pembelian kenderaan untuk kegunaan di darat dan di air, bahkan turut melibatkan pertukaran teknologi di mana dalam masa yang sama, pelajar di Terengganu juga boleh mempelajari teknologi baharu itu.
“Di Jepun juga hanya ada sebuah amphicoach, begitu juga di Hungary. Pada asalnya kita ingin menempah dua buah amphicoach, namun, melihat kepada keadaan kewangan kita, buat masa ini hanya sebuah dibeli dalam tempoh terdekat ini.
“Kilang kenderaan buatan Malta ini tidak bersifat komersil sebaliknya hanya menyiapkan amphicoach berdasarkan tempahan khas. Bas yang kita tempah ini boleh memuatkan seramai 50 penumpang dengan kelajuan maksimum lapan knot di dalam air, manakala di atas jalan raya, kelajuannya ialah 120 kilometer sejam,” katanya.
Beliau berkata, pembelian amphicoach itu diilhamkan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang mahu ia digunakan untuk membawa pelancong ke beberapa tempat menarik.