Home » , » RAHSIA!! Bagaimana Jutawan Muda Ini Berjaya Dalam Usia Muda

RAHSIA!! Bagaimana Jutawan Muda Ini Berjaya Dalam Usia Muda

Written By Nick AreLonk on Monday, 22 September 2014 | 16:56

RAHSIA!! Bagaimana Jutawan Muda Ini Berjaya Dalam Usia Muda



BEKERJA dari rumah dan memperoleh pendapatan RM1 juta! Bunyinya mungkin pelik tetapi itu yang telah dibuktikan oleh anak muda bernama Irfan Khairi, 28.
Lebih membanggakan, pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Rekabentuk Multimedia dari Universiti Staffordshire, United Kingdom (UK) ini mula memegang status jutawan muda sejak tiga tahun lalu.

Ketika rakan-rakan sebayanya sibuk membina keyakinan diri menerusi bidang pekerjaan yang diceburi, Irfan anak kelahiran Perak tetapi dibesarkan di Selangor dan kini menetap di Seremban, telah mampu memiliki apa sahaja yang diingini.
Kejayaan yang dimilikinya itu, walaupun nampak mudah, namun menurut bapa kepada dua anak ini, memerlukan usaha yang bersungguh-sungguh dan terancang.

``Saya bukan bergelar jutawan dalam sekelip mata, tetapi mengambil masa tujuh tahun untuk sampai ke tahap ini,'' katanya kepada wartawan SITI MARIAM MD. ZAIN dan jurugambar RASHID MAHFOF ketika ditemui di Kelana Jaya baru-baru ini.
Menurut Irfan, semuanya bermula apabila beliau mula berminat mendalami kejayaan orang lain dalam bidang-bidang tertentu.

``Saya dapati mereka berjaya kerana melakukan apa yang disukai. Dan ini yang saya lakukan untuk diri saya,'' katanya.
Menarik tentang Irfan ialah beliau juga bertanggungjawab mereka cipta sistem pembelajaran Internet untuk sekolah-sekolah di UK, dinamakan Learning Grid.
Pernah mengikuti kursus Ekonomi di Institut Teknologi Mara (kini UiTM), Irfan mengakui ketiadaan minat menyebabkan beliau beralih arah ke bidang multimedia.
Berbekalkan semangat, kreativiti dan komputer ribanya, anak muda pemalu dan suka merendah diri ini akhirnya menemui impian yang dicari-cari - duduk sebaris dengan tokoh jutawan Internet yang lain.

Dengan kepakaran yang ada, Irfan kini mendedahkan segala rahsianya menerusi buku bertajuk Rahsia Jutawan-jutawan Internet Terbongkar yang ditulis sendiri, selain sibuk menganjurkan seminar-seminar tentang kejayaannya.

Irfan berasal daripada keluarga yang menjalankan perniagaan?
Dalam keluarga, saya orang yang pertama menceburi bidang perniagaan.

Bila mula terfikir untuk terlibat secara serius dalam bidang perniagaan seperti ini?
Semasa kecil saya minat melukis dan mereka bentuk. Minat dalam perniagaan bermula semasa remaja, setelah saya membaca buku-buku tentang perniagaan. Ketika berumur 18 tahun saya mula terfikirkan masa depan dalam bidang perniagaan ini.

Bila mula serius dengan komputer?
Semasa saya melanjutkan pelajaran dalam bidang multimedia design di UK.

Siapa yang banyak mendorong minat ini?
Diri sendiri. Selain saya mendapat banyak sumber inspirasi melalui buku-buku tentang kejayaan orang lain yang saya baca.

Orang yang paling dikagumi?
Bill Gates.

Kenapa?
Antara sebab ialah dia merupakan manusia yang paling kaya di dunia. Saya kagum dengan idea, konsep yang diketengahkan. Bill Gates juga seorang ayah yang baik. Walaupun dia orang yang terkaya di dunia tetapi masih tetap merendah diri. Kalau boleh saya ingin menjadi seperti dia.

Apa yang Irfan belajar tentang Bill Gates?
Dari awal sehingga menjadi kaya, dia buat perkara yang dia minat - pengaturcaraan (programming). Dia jadi kaya sebab buat apa yang dia minat. Saya juga selalu sarankan kepada peserta-peserta bengkel supaya buat apa yang mereka minat, jangan terikut-ikut dengan industri lain yang kita sendiri tidak tahu keadaannya. Kalau hendak mencapai kejayaan sebenarnya industri apa pun boleh tetapi yang paling penting, kita minat.

Perkara yang tidak disukai?
Saya suka kalau tidak berfikir negatif tentang orang lain. Memang Bill Gates pun ada perkara-perkara negatif tetapi saya lebih suka mengambil yang positif sahaja.

Apa makna kekayaan bagi Irfan?
Wang bagi saya bukanlah keutamaan. Apa yang paling saya pentingkan ialah keluarga. Ramai yang tanya kalau perniagaan baik kenapa tidak mahu buka pejabat, ada pekerja sendiri. Tetapi bagi saya, kalau sudah ada wang cukup, saya lebih suka duduk rumah bersama keluarga. Memanglah kita perlu duit, tetapi yang lebih penting ialah membina sebuah keluarga bahagia.

Bagaimana keadaan bekerja di rumah?
Saya ada satu bilik khas yang dijadikan pejabat. Apabila saya buat kerja saya akan tumpu sepenuh perhatian kepada kerja. Saya bekerja waktu malam sampai subuh. Selepas (solat) subuh, baru saya tidur.

Kenapa tidak buka pejabat sendiri?
Saya suka menghabiskan masa bersama keluarga. Kalau boleh saya mahu terus begini. Saya selesa dengan cara ini.

Irfan tidak gemar bersosial?
Saya tidak menafikan kalau dibandingkan dengan rakan-rakan lain, mereka lebih gemar menghabiskan masa dengan bermain futsal, tengok wayang dan sebagainya. Tetapi bagi saya, sejak dulu lagi sudah fokus untuk kerja, menjana pendapatan, minat saya di situ. Saya tidak berapa suka keluar dengan kawan-kawan begitu (ketawa).
Lagipun pilihan ini terpulang kepada individu. Saya jadi begini mungkin sebab banyak membaca. Adik saya tidak macam saya, abang saya pun begitu. Mungkin juga faktor pergaulan dengan rakan-rakan semasa kecil banyak mempengaruhi sikap saya sekarang. Dulu, kawan-kawan saya kebanyakannya bukan daripada keluarga berada. Saya pun daripada keluarga sederhana, bila tengok rakan-rakan kaya, kami segan nak bercampur, tidak selesa bila bersama mereka. Sekarang saya telah buktikan walaupun kita hidup sederhana, peluang untuk kita mencipta kekayaan tetap terbuka. Ini juga salah satu daripada matlamat hidup saya.

Bila Irfan menetapkan sasaran untuk bergelar jutawan?
Semasa berumur 18 tahun, saya sudah menetapkan matlamat hendak jadi jutawan sebelum berumur 30 tahun. Saya tulis di atas kertas dan simpan dalam dompet. Saya baca apa yang saya tulis itu setiap hari. Saya percaya apa yang dibaca jika selalu diulang-ulang, akhirnya akan termakbul. Sampai hari ini pun setiap perancangan saya yang akan datang, saya akan baca tiap-tiap hari.

Apa perancangan akan datang Irfan?
Saya hendak cuba memperkenalkan diri di seluruh negara sebagai motivator pula, terutama kepada anak-anak muda kita.

Bagaimana perasaan Irfan bila berjaya mencapai matlamat sebelum masa yang ditetapkan?
Semestinya saya seronok. Tetapi apa yang lebih penting ialah saya rasa lebih yakin dengan kemampuan diri sendiri.

Irfan terlalu merendah diri, kenapa?
Macam saya kata tadi, mungkin dari segi pergaulan dengan kawan-kawan saya terbawa-bawa sikap ini. Kawan-kawan saya memang begitu, tambahan pula dari tingkatan satu sampai tingkatan lima kami dalam satu kumpulan. Persepsi kami semasa itu ialah orang kaya ini biasanya sombong dan suka berlagak tetapi sekarang saya sedar mereka pun sama macam kita sahaja.

Semasa sekolah pernah kena buli?
Memang pernah, biasalah kena buli sebab saya ini lemah sedikit (ketawa). Antara kejadian yang saya masih ingat ialah semasa saya menyertai kelas tae kwan do. Ada seorang budak yang sedang buat latihan secara tidak semena-mena terajang saya. Sikap saya pula ialah tidak suka melawan. Sebenarnya saya memang diajar begitu, sentiasa menghormati orang lebih dewasa.

Sekarang Irfan sudah berjaya, adakah masih berasa rendah diri lagi?
Saya suka begini. Kalau tidak merendah diri saya akan rasa tidak selesa (ketawa).

Mungkin sebagai motivator, sikap rendah diri begini tidak begitu sesuai?
Saya rasa itu bergantung kepada cara pembawaan kita. Bagi saya, yang penting ialah keikhlasan. Saya biasanya akan mengadakan seminar (bengkel) setiap sekali atau dua kali sebulan cara bagaimana untuk menjadi jutawan, tetapi cara saya berpakaian misalnya, jelas dapat dilihat yang para peserta lagi segak bergaya daripada saya.
Bagaimanapun saya rasa masyarakat sudah mula menerima gaya penyampaian begini (berpakaian ringkas). Sebelum ini bila kata jutawan, orang itu mesti pakai kot, tali leher, bawa kereta mewah dan sebagainya. Tetapi di Amerika Syarikat seperti Bill Gates sendiri, dia beri ceramah pakai baju T biasa sahaja. Yang penting kejayaan dia. Saya kalau boleh hendak menjadi seperti resmi padi - semakin berisi semakin tunduk.

Pertama kali bertindak sebagai motivator, apa pengalaman yang dialami?
Kelam-kabut kerana saya lupa banyak fakta dan saya buat banyak kesilapan. Saya cakap tergagap-gagap. Tetapi ini memang saya jangka dari awal. Di sekolah saya tidak pernah buat pengucapan awam. Itu kali pertama seumur hidup saya berucap depan 20 hingga 30 orang.
Sampai sekarang saya masih gementar. Tetapi biasanya ia berlaku dalam 10 minit pertama kemudian semua berjalan lancar.

Orang kata kalau terlalu merendah diri, pihak lain mudah mengambil kesempatan?
Ada betulnya juga, tetapi itu mungkin berlaku dalam dunia korporat atau perniagaan yang banyak persaingan. Macam saya kerja di rumah dan mengadakan bengkel mungkin keadaan itu tidak terasa sangat.

Sebelum terlibat dalam bidang multimedia, Irfan mengambil jurusan ekonomi di UiTM. Mengapa beralih bidang?
Semasa itu saya sendiri tidak tahu hendak pilih jurusan atau bidang apa yang patut saya ceburi. Jadi ibu banyak mendorong saya supaya mengambil jurusan itu.
Persepsi orang tua, untuk berjaya kena jadi ahli ekonomi, doktor atau peguam, itu sahaja. Walaupun saya telah ada minat melukis, mereka bentuk tetapi ketika itu saya tidak nampak boleh mengembangkan bakat yang ada. Sehinggalah selepas UiTM, kerajaan mula memperkenalkan MSC. Saya lihat inilah peluang saya. Dan pada masa sama, saya memohon di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang multimedia. Alhamdulillah saya diterima. Saya merupakan pelajar pertama yang JPA hantar untuk buat jurusan multimedia di luar negara. Untuk ini saya berterima kasih kepada bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad yang telah mencetuskan idea ini.

Apa pendapat Irfan tentang Tun?
Beliau banyak memberi galakan kepada orang Melayu untuk berjaya. Saya sensitif bercakap fasal Tun (sebak).

Kenapa Irfan sebak?
Saya kagum dan hormat pada beliau. Saya sukar menerima kritikan negatif orang lain terhadap beliau. Bagi saya, manusia memang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan tetapi Tun telah melakukan banyak perkara baik untuk orang Melayu.

Kalau diberi peluang berjumpa Tun?
Sebenarnya saya memang teringin sangat untuk berjumpa dengan Tun.

Tiga perkara yang Irfan suka lakukan?
Saya suka bermain dengan anak-anak, melayan isteri dan keluarga, melukis selain menonton cakera padat digital (DVD).

Tiga perkara yang tidak suka dilakukan?
Saya tidak suka bersukan (ketawa), membuang masa dan kalau saya tidak ada kerja untuk dilakukan (menambah pendapatan).

Semasa kecil pernah berlaku perkara yang Irfan tidak boleh lupakan sehingga membentuk sikap Irfan hari ini?
Tidak ada perkara luar biasa yang berlaku dalam hidup saya. Sebenarnya hidup saya agak bosan juga (ketawa). Yang banyak mempengaruhi diri saya ialah mungkin minat membaca. Boleh dikatakan waktu dulu, buku adalah teman baik saya.
Semasa remaja, saya suka tengok dan membaca kisah kehidupan bintang-bintang terkenal dunia seperti penyanyi Kylie Minogue, Micheal Jackson dan lain-lain lagi. Bila saya tengok mereka, mereka seronok bekerja (menyanyi atau berlakon) kerana mereka dapat buat apa yang mereka suka. Bila kaji kehidupan mereka, rumah mereka besar-besar kerana berjaya dalam hidup. Dari situ, saya tanam cita-cita untuk jadi seperti mereka. Disebabkan saya tidak pandai menyanyi, maka saya perlu mencari jalan lain untuk mencapai kejayaan.

Siapa pelakon yang diminati?
Tom Cruise, Tom Hanks dan Nicole Kidman.

Apa kelemahan Irfan?
Saya mudah lupa terutama membabitkan nombor. Semasa sekolah dulu, saya tidak minat dengan subjek Matematik dan subjek-subjek lain yang berkaitan dengan nombor. Semasa sekolah dulu, saya selalu tidak lulus subjek Matematik dan Perakaunan.

Apa falsafah hidup Irfan?
Kejayaan tidak akan datang bergolek. Kita perlu sentiasa bekerja keras untuk mencapai matlamat. Masalahnya sekarang, ramai yang suka mengambil jalan singkat.

Tetapi Irfan sendiri membuktikan kejayaan boleh dicapai dengan jalan singkat?
Tidak, saya tidak mendapatkan kekayaan ini dengan jalan singkat. Saya mula menetapkan sasaran saya pada umur 18 tahun. Hari-hari saya mengulangi hasrat saya, hari-hari juga saya membaca buku ke arah merealisasikan hasrat saya. Setiap satu atau dua minggu, saya akan menghabiskan sebuah buku. Kalau bukan bersungguh-sungguh, orang lain tidak akan melakukan apa yang saya lakukan. Usaha ini berterusan sehingga tujuh tahun. Tujuh tahun bukanlah satu jangka masa yang singkat. Saya berjaya semasa berumur 25 tahun.

Apa perasaan menjadi jutawan pada usia muda?
Saya rasa ada ramai lagi jutawan muda di luar sana. Mungkin kejayaan mereka tidak dihebahkan. Saya pula lebih suka berkongsi pengetahuan yang ada dengan orang lain.

Sukarkah untuk menjadi kaya?
Tidak susah kalau kita tahu jalannya. Paling penting kita mesti buat apa yang kita minat. Kalau kita minat, kita kerja dari pagi ke malam, tidak akan rasa ia sebagai beban.

Apa makna wang pada Irfan?
Walaupun saya kata wang perkara kedua dalam hidup, tetapi saya tidak pernah ada tanggapan negatif pada wang. Sesetengah orang kata, duit banyak bukan boleh bawa masuk ke kubur. Tetapi kita kena terima hakikat dengan duit, kita boleh buat keluarga gembira selain kalau kita mati pun, wang masih berguna kerana kalau kita ada yayasan, ia masih boleh membantu kerana ia merupakan amal jariah berterusan kita.

Pernah terfikir untuk menubuhkan yayasan sendiri?
Memang ini sebahagian daripada perancangan saya. Dan saya rasa ini konsep yang sepatutnya mereka yang mampu, amalkan.

Bagaimana Irfan membelanjakan wang?
Saya banyak belanja kepada perkara yang berkaitan dengan perniagaan saya. Saya bukan seorang yang boros sebaliknya lebih suka melabur semula wang ke dalam bidang yang memberi pulangan misalnya hartanah.

Apa aktiviti tahunan yang sering dilakukan bersama keluarga?
Setiap tahun saya akan membawa keluarga melancong ke luar negara. Dalam negara pula dalam dua atau tiga kali setahun.

Percutian bagaimana yang disukai?
Yang ada permainan atau tempat hiburan seperti Disneyland dan Under Water World (ketawa). Selain bawa anak-anak, saya dan isteri memang suka tempat-tempat begini. Satu lagi yang kami tidak akan ketinggalan ialah melihat rumah mereka yang berjaya kerana ini akan lebih merangsang diri saya.

Tempat yang menjadi impian Irfan dan keluarga untuk dilawati?
Kami ingin melawat Sepanyol. Di sana ada Under Water World terbesar di dunia.

Bagaimana Irfan fikir orang lain melihat Irfan?
Penampilan saya atau cara saya membawa diri saya mahu orang senang dengan saya. Saya lebih suka kalau masyarakat melihat saya sebagai seorang yang boleh memberi inspirasi dan meningkatkan keyakinan untuk mencapai kejayaan daripada melihat saya sebagai seorang jutawan.

Apa yang Irfan banggakan tentang diri Irfan?
Saya dapat menggembirakan keluarga dan dapat melakukan kerja yang saya suka.

Apa yang selalu diimpikan?
Saya mahu semakin maju dan berjaya dalam hidup. Kalau boleh saya hendak membantu orang lain mencapai kejayaan.

Bila masa paling menggembirakan Irfan?
Sewaktu saya mendapat anak.

Apa yang Irfan rasa sekarang?
Pernah juga saya terfikir dulu saya tidak minat subjek Ekonomi, Matematik dan subjek-subjek nombor yang lain tetapi sekarang saya terlibat secara langsung (ketawa).
Malah sekarang bila jumpa kawan-kawan, mereka pelik, macam mana dulu tak suka kira-kira duit, sekarang boleh membuat duit. Jawapan saya ialah, saya buat apa yang saya minat dan bekerja keras, duit akan datang dengan sendiri selepas itu.

Siapa yang banyak mempengaruhi hidup Irfan?
Untuk berjaya dalam bidang yang saya ceburi sekarang kebanyakannya diri saya sendiri. Emak dan ayah memang ada memberi dorongan tetapi daripada jauh. Selepas tamat pengajian di UK, saya banyak menghabiskan masa dengan membaca buku-buku tentang kejayaan orang lain.

Irfan anggap diri terkenal sekarang?
Belum lagi rasa-rasanya (ketawa). Kalau ikutkan saya, saya lagi ramai kenal wartawan yang interviu daripada kawan-kawan. Dunia luar memang saya kurang tahu.

Suka dengar muzik?
Saya minat rock tetapi rock Barat. Kalau di Malaysia, saya suka KRU. Saya pilih KRU kerana mereka business minded. Bila tengok muzik, saya tidak tengok muzik sahaja tetapi tengok siapa orangnya - apa kejayaan-kejayaan yang telah mereka capai.

Harapan Irfan?
Mahu membina keluarga yang bahagia dan berjaya. Saya juga harap dapat meneruskan kerja dengan lebih cemerlang lagi.
Powered by Blogger.