Hukuman Suami Isteri Curi Wang Mangsa MH370 Dilanjutkan
KUALA LUMPUR – Tempoh tahanan reman seorang pegawai bank wanita dan suaminya dilanjutkan ke Rabu ini bagi membantu siasatan kes memindahkan dan mengeluarkan wang dari akaun empat mangsa tragedi penerbangan Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang masih hilang.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, SAC Zainuddin Ahmad, berkata tempoh reman pasangan itu, yang ditahan sejak 14 Ogos, sepatutnya berakhir hari ini.
“Kertas siasatan kes ini dijangka siap sepenuhnya pada minggu hadapan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Pegawai bank wanita itu, 33, ditahan di rumahnya di Ampang manakala suaminya yang juga berusia 33 tahun ditahan di sebuah bengkel di Ampang setelah pihak bank membuat laporan polis mengenai transaksi sejumlah RM110,643 milik empat penumpang pesawat MH370 tanpa mendapat kebenaran mana-mana pihak.
Akaun berkenaan masing-masing milik dua penumpang warga China, seorang penumpang warga Malaysia dan akaun seorang pramugara.
Siasatan polis mendapati daripada jumlah RM110,643 itu, sebanyak RM35,000 telah dipindahkan ke akaun kelima menerusi perbankan internet.
Zainuddin berkata, polis masih mencari seorang lelaki wargan Pakistan yang dikenali sebagai Ali Farran bagi membantu siasatan kes itu.
“Siasatan polis mendapati Ali Farran adalah kenalan suami pegawai bank itu,” katanya.
Beliau berkata, Ali Farran juga didapati telah tinggal melebihi tempoh masa yang dibenarkan di negara ini.
“Dia telah berpindah dari alamat terakhirnya di Kampung Pandan sejak 31 Julai lepas dan difahamkan sudah berhenti kerja sejak enam bulan lepas,” katanya.
Penerbangan MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang daripada imbasan radar ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang pada 12.41 tengah malam.
Gerakan mencari pesawat itu yang membabitkan pelbagai negara, bermula di Laut China Selatan sebelum diperluas ke Selat Melaka dan akhirnya di selatan Lautan Hindi.