Tinjauan Utusan Malaysia mendapati semua rumah tersebut lenyap dan kawasan seluas kira-kira 100 meter yang menjadi penempatan penduduk kampung tersebut telah menjadi sungai.
Penduduk mendakwa, kejadian itu berlaku di luar jangkaan apabila air laut mula pasang besar dan disusuli dengan arus sungai yang sangat deras menyebabkan hakisan tebing berlaku.

Sementara itu, seorang mangsa, Hamid Latif, 47, berkata, ketika kejadian, dia bersama lima lagi ahli keluarganya hanya sempat menyelamatkan diri serta beberapa barangan penting sebelum rumahnya dihanyutkan arus deras.
“Pada mulanya, air naik memasuki kawasan rumah saya dan beberapa jam kemudian, air mula surut dan menghakis kawasan tebing rumah saya sekaligus menghanyutkan keseluruhan rumah saya.
“Ketika itu, saya tidak mampu berbuat apa-apa dan sehingga kini, saya masih lagi terkejut kerana kejadian itu berlaku sekelip mata dan diluar jangkaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Hamid berkata, dia sangat sedih apabila mengenangkan rumah yang menjadi satu-satunya tempat mereka sekeluarga berteduh sejak 10 tahun lalu hilang begitu sahaja.
“Kini saya sekeluarga terpaksa menumpang di rumah jiran dan kami berharap masih ada pihak yang sudi membantu kami sekeluarga memandangkan kehidupan kami hanya bergantung kepada pendapatan saya sebagai buruh,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Bedah Yaacob, 49, berkata, sehingga kini, dia masih lagi berasa takut apabila mengenangkan separuh rumahnya dihanyutkan air sungai.
“Air naik terlalu cepat dan memasuki ruang dapur sehingga paras paha. Ketika itu, saya serta tiga ahli keluarga yang lain mula keluar dari rumah dan kira-kira pukul 10 malam, air mula surut dan menghanyutkan ruang dapur rumah saya.
“Kini, kami tiada pilihan lain selain terpaksa tinggal di bahagian ruang tamu sahaja. Setiap malam saya tidak dapat tidur dengan lena kerana bimbang kejadian yang sama berulang,” katanya.

Bedah berkata, ini adalah kejadian yang pertama berlaku sejak hampir 40 tahun dia tinggal di kawasan berkenaan.