Home » » Kisah Seram!! Kejadian Di Pantai Changi

Kisah Seram!! Kejadian Di Pantai Changi

Written By Nick AreLonk on Saturday 20 September 2014 | 05:39

Kisah Seram!!  Kejadian Di Pantai Changi




Nama saya Nadia (bukan nama sebenar). Kisah ini berlaku di pantai Changi kira-kira sebulan yang lepas. Waktu itu kelas saya mengadakan barbeku untuk kelas berinteraksi antara satu dengan yang lain kerana kami baru sahaja masuk ke sekolah baru.

Pada malam itu, saya dan teman lelaki saya sedang duduk di sebuah pondok bersebelahan dengan jalanraya. Saya duduk membelakangi teman lelaki saya. Kami sedang berbual dan tiba2 sebiji buah kelapa jatuh dari pokok dengan kuat. Saya tersentak kerana terperanjat. Apabila saya pusing untuk melihat teman lelaki saya, beliau dengan pantas menarik tangan saya lalu berkata, "Lincah! Sebelum terlambat. kite pergi balik ke 'pit'!" Pada mulanya saya ingat beliau bergurau jadi saya tarik balik tangan saya tetapi dari raut wajahnya yang panik, saya terus bangun dan mengikutnya.


Pit kami berada di sebelah kiri saya tetapi teman lelaki saya menarik tangan saya dan kami pusing ke kanan, menuju ke arah tempat kapal berlabuh. Mulut teman lelaki saya terkumat-kamit membaca doa. Baru saya sedar yang beliau tidak bergurau. Setelah lama kami berjalan, kami berhenti kerana kami sudah terlalu jauh dari 'pit'. Kami pusing ke belakang dan teman lelaki saya menyuruh saya membaca Al-Fatihah 3 kali dan meludah ke kanan. Oleh kerana terlalu takut, sampai bercampur-aduk surah Al-Fatihah saya membacanya.

Kami pun berjalan dengan pantas menuju ke 'pit' dan yang hairannya setiap kali kami melepasi satu pokok, terasa hembusan angin yang begitu kuat, sedangkan di hadapan, kami tidak terasa pun hembusan angin. Saya mengikut teman lelaki saya membaca surah-surah dan perjalanan kami ke 'pit' terasa begitu jauh. Sampai di 'pit', saya terus rebah dan badan terasa begitu lemah.

Setelah tersedar kembali, saya bertanya kepada teman lelaki saya apa yang sebenarnya terjadi tadi. Beliau menceritakan yang ketika buah kelapa itu jatuh, Cik Pon sedang bertenggek di atas pokok dan sedang memerhatikan kami dari tadi. Bila kelapa itu jatuh, dia berasa aneh kerana tidak ada angin yang boleh menyebabkan kelapa itu jatuh dan dia menjenguk ke atas buat kali kedua. Sewaktu itulah dia ternampak Cik Pon baru nak terbang turun dari pokok. Dan bila kami ingin ke arah 'pit' (pusing kiri), teman lelaki saya melihat dari ekor matanya yang Cik Pon sedang terbang menuju ke arah saya di sebelah kiri dan kerana itulah kami pusing ke kanan.

Bila kami berada di kawasan dekat dengan perlabuhan kapal, dia ternampak "Gula-gula" menjelma dari belakang pokok. Sewaktu kami ingin pusing balik untuk kembali ke 'pit', Cik Pon sedang berterbangan di belakang kami dan kerana itulah kami terasa hembusan angin yang kuat dari belakang sedangkan di hadapan kami tidak ada angin langsung. Walaupun saya tidak nampak Cik Pon dan "Gula-gula", pengalaman berada dalam situasi yang menakutkan ini amat menyeramkan. Mujurlah teman lelaki saya ini boleh dikatakan berani dan tahu apa nak buat kalau tidak, dah pengsan agaknya saya. Alhamdulillah, tidak ada gangguan setelah saya pulang ke rumah tetapi pengalaman ini akan selalu terngiang-ngiang dalam fikiran saya.

Powered by Blogger.