Tentera Hamas ikrar besarkan radius serangan
BAITULMAQDIS, 8 Julai:
Tentera Udara Israel melancarkan berdozen-dozen serbuan di Semenanjung Gaza selepas serangan balas Hamas di bahagian selatan, mencederakan sekurang-kurangnya 12 orang.
Serangan itu dibuat ketika Israel cuba membendung pertempuran di penempatan penduduk Arab yang berang dengan pembunuhan seorang remaja Palestin oleh kumpulan pelampau Yahudi.
Jurucakap tentera Israel pada Selasa mengesahkan serangan udara dengan nama code ‘Protective Edge’ (Perlindungan Pinggir) telah dilancarkan tetapi tidak memberi butiran lanjut.
Beberapa rumah menjadi sasaran dalam serbuan di selatan Semenanjung Gaza, terutama sekali di Khan Yunes, kata saksi.
Israel telah ‘melampaui batas dengan menyerang rumah-rumah’, kata tentera Ezzedine al-Qassam memberi amaran.
Ezzedine al-Qassam merupakan pasukan tentera sayap kanan Hamas yang mempunyai kubu kuat di Gaza.
“Sekiranya polisi ini tidak menghentikan perbuatan mereka, kami akan membalas dengan membesarkan radius sasaran kami yang akan memeranjatkan pihak musuh,” katanya dalam satu kenyataan.
Tentera Israel berkata pada Isnin, tentera Hamas melepaskan lebih 40 roket bom dilepaskan ke bahagian selatan dalam masa yang singkat.
Bunyi siren kedengaran di 10 lokasi termasuk di Beit Shemesh kira-kira 80 kilometer dari Semenanjung Gaza, kata tentera dalam kenyataan.
Kira-kira 16 roket dilepaskan di bahagian selatan bandar Beersheva yang mempunyai kepadatan penduduk seramai 200,000 dan terletak kira-kira 40 kilometer dari Gaza.
Tentera Ezzedine al-Qasam mengaku bertanggungjawab atas semua serangan.
Tidak lama selepas itu, tentera Israel melakukan lebih 30 serangan udara di Rafah, bahagian selatan Gaza dekat dengan sempadan Israel dan banyak terowong bawah tanah, kata saksi Palestin dan sumber keselamatan kepada AFP.
Serangan terbaru berlaku apabila keselamatan Israel menahan enam pelampau Yahudi terlibat membunuh seorang remaja Palestin yang diculik kemudian dibakar hingga mati dalam satu tindakan balas dendam terhadap kes tiga remaja Yahudi yang diculik dan bunuh di Tebing Barat, bulan lalu.
Pembunuhan 2 Julai lalu itu menyebabkan pertembungan ganas di timur Baitulmaqdis dan di beberapa bandar Arab di Israel, di mana pihak polis menahan beratus-ratus orang.
Pada Isnin, Presiden Shimon Peres dan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menemui bapa remaja Palestin itu untuk memberi ucapan takziah dan melahirkan rasa marah di atas pembunuhan anaknya.
“Saya malu dengan perbuatan mereka dan saya turut merasa kesedihan anda,” kata Benjamin yang menyifatkan pembunuhan tersebut sebagai sesuatu yang memalukan.
Dalam masa satu malam, bantahan yang bermula di timur Baitulmaqdis dan bandar Arab di Israel terus merebak di mana polis menahan 110 orang.